Berlabuh dan Berlayar.

Oleh: Peserta Simposium
Simposium Nuqaba’ sulung anjuran LTD PPIMI baru saja melabuhkan tirainya hujung minggu yang lalu. Didoakan agar semua yang terlibat terus bersemangat melaksanakan praktikaliti usrah atau nama glamournya “Relax and Recharge” aka “R&R” yang lebih baik dengan konsisten dan efisien. Dah berilmu perlulah laksanakan pula, itu sikap orang beriman, sikap Muslim yang Mukmin. Ala-ala konsep ‘kaizen’ atau continuous improvement yang PPIMI cuba tampilkan dalam PUISI 2009 nanti bukan? Iklan sebentar: apa tunggu lagi, daftar PUISI jom!
Tujuan artikel ini ditulis secara dasarnya adalah untuk berkongsi serba sedikit dapatan daripada program simposium tersebut. Bagi yang tidak dapat hadir, Simposium kali ini dikendalikan oleh Ustaz Erfino Johari sebagai penceramah utama. Siapa yang masih belum kenal Atase Pendidikan MSD London ini, bolehlah cuba-cuba untuk kenali beliau. Penulis pada satu ketika dahulu pernah menyangka beliau dan Ustaz Erfino rancangan Bahasa Arab radio IKIM fm adalah orang yang sama, akhirnya pada hari simposium ini, sahihlah kepada penulis bahawa memang mereka memang merupakan orang yang sama. (Iklan lagi). Menjelang sesi petang pula, dijalankan sesi bengkel bersama fasilitator jemputan.
Sesi bersama Ustaz Erfino dimulakan dengan aktiviti taaruf. Nuqaba’ diminta untuk berkenalan dengan seorang sahabat lain dalam masa 3 minit dan kemudiannya diminta untuk menceritakan perihal sahabat tersebut di hadapan umum. Sesi interaktif ini disambut baik oleh nuqaba’ Muslimin khususnya. Bilangan yang sedikit tidak menterkebelakangkan mereka dari sudut penglibatan. Sesuai dengan fitrah mereka yang sewajarnya bercirikan kepimpinan. Syabas Nuqaba’ Muslimin! Andalah harapan Islam!
Saya kira sesi taaruf ini merupakan aktiviti permulaan yang baik untuk agenda simposium yang seterusnya. Refleksi kepada sistem usrah yang berteraskan Taaruf, Tafahum dan Takaful, Taaruf merupakan permulaan yang perlu diambil berat oleh Nuqaba’ sebagai pengemudi usrah, lantaran kepentingannya yang tidak terperikan. Tanpa perkenalan yang baik, benar dan jujur, mana mungkin ahli usrah mampu saling memahami apatah lagi untuk saling bertolong bantu. Naqib yang mengenali adik-adik usrahnya dengan baik, secara sunnatullah nya akan lebih mampu membawa pendekatan yang lebih dekat di hati mereka, justeru penyampaian Islam akan terusik di jiwa mereka dengan lebih mendalam.
Setelah itu, sesi taaruf ini diteruskan pula dengan aktiviti perkongsian masalah. Nuqaba’ diminta untuk memilih sahabat yang lain pula, kemudian bertukar-tukar masalah serta kelebihan masing-masing. Sekali lagi muhasabah kepada pendekatan usrah yang sewajarnya punya elemen perkongsian masalah dan pandangan. Kenal sebagai kenalan bukanlah ciri Taaruf yang dimaksudkan oleh Hassan Al Banna dalam huraiannya tentang komponen usrah. Sebaliknya perkenalan yang lebih mendalam mencakupi perkongsian masalah barulah mencapai standard taaruf yang diperlukan dalam usrah. Melalui perkongsian masalah ini, barulah konsep takaful atau bertolong bantu boleh dilaksanakan. Bila dah tahu masalah sahabat seusrah, takkan mahu berpeluk tubuh tak berbuat apa-apa, bukan? InsyaAllah melalui perkongsian masalah, akan menjana idea-idea dan tindakan sinergi daripada setiap ahli usrah yang setiakawan untuk saling membantu menyelesaikan masalah sahabat yang lain. Inilah manisnya ber’keluarga’ melalui RnR. Untuk mencipta kemanisan ini, bukan perlu ditambah gula berlebihan, tetapi seharusnya Nuqaba’ mainkan peranan utama untuk menghidupkan suasana usrah yang bernuansa kesatuan aqidah serta tautan ukhuwwah.
Hajat di hati penulis adalah untuk berkongsi keseluruhan pengisian dalam satu artikel semata, tetapi nampaknya tak kesampaian kerana kepanjangan artikel ini yang penulis kira sudah agak berlebihan. Nanti tak dibaca lantaran berjela-jela, rugi pula, kurang pahala juga. Jadi, InsyaAllah, penulis minta didoakan agar dikurniakan masa dan ilham untuk menyambung perkongsian dalam edisi seterusnya satu masa nanti. Banyak lagi isi yang ingin dikongsikan, tunggu masa untuk diluahkan.
Akhirul qalam, hiduplah sebagai pemuda yang bertenaga, idealis dan berjiwa khalifah. Muda hanya sekali, hidup pula menanti mati, maka apakah kita punya masa untuk terus menunggu dan berdiam diri?








