Harus Tunggu Dulu?

The Wait Project

Harus Tunggu Dulu?

Oleh: Peserta Simposium (lagi)

Pernahkah kita beri alasan kepada diri sendiri, “aku belum punya cukup ilmu, aku tak punya bakat berceramah berdegar-degar, aku belum cukup warak, aku belum itu dan ini”. Pernahkah alasan-alasan ini berlegar-legar di minda kita tatkala seruan untuk berdakwah tiba di pangkal telinga, dalil wajib berdakwah terpampang di depan mata dengan jelas, tanpa perlu kita berkaca mata untuk membacanya. Seruan ini memanggil-manggil jiwa kita yang penuh kesedaran, tetapi hujah balas (bisikan syaitan?) dalam diri sibuk beralasan. Pernahkah?

Bagi yang telah berjaya melepasi fasa tersebut dengan jayanya, atau dengan kata lain, telah berjaya meminggirkan alasan dan terus menyahut seruan, tahniah. Anda patut kongsikan tips-tips kejayaan anda.

Bagi mereka yang masih berusaha, semoga Allah mudahkan jalan. Saya juga ada sesuatu untuk dikongsikan.

Ingatkah kita bagaimana Al-Quran diturunkan? Berperingkat-peringkat bukan? Tidaklah Al-Quran itu diturunkan oleh Allah secara sekaligus, lengkap dalam sekelip mata. Tetapi, Rasulullah berpegang dengan ayat yang diturunkan sedikit demi sedikit itu, dan terus menyampaikan, tak sedikit pun melengahkan. Kaum keluarga dan sahabat rapat terus diajak beriman sedangkan bilangan wahyu yang baru diturunkan boleh dikira dengan jari tangan. Boleh juga kita kenang kisah para sahabat, Abu Dzar Al-Ghifari sebagai misal. Baru beriman kadar sehari dua, terus pulang ke desa dan membawa sekampung halaman untuk turut beriman.

Menyampaikan Islam tak memerlukan kita menghafal hadith berkitab-kitab, tak perlukan kebijaksanaan seperti Imam Shafie dalam menyelesaikan masalah fiqh sebagai ukuran kelayakan. Malah baginda Rasulullah SAW sendiri dalam beberapa peristiwa, tidak dapat menjawab terus soalan-soalan yang ditanya sehingga keesokan harinya. Boleh rujuk kisah di sebalik turunnya ayat 23-24 surah Al-Kahf.

Ilmu adalah perkara yang perlu sentiasa ditambah di sepanjang kehidupan. Yakinlah, sehingga kita mati pun kita tak akan mampu mengaku bahawa kita sudah benar-benar berilmu dan cukup layak untuk menyampaikan Islam dan berdakwah kepada orang lain. Kecualilah jika muka kita cukup tebal untuk buat pengakuan seumpama itu.

Oleh itu, jika kita mengukur layak dengan tahap ilmu dan warak, kita akan terus bertangguh, bertangguh dan bertangguh. Bertangguh yang tiada kesudahan akan membawa seruan itu pergi dan mungkin juga kesedaran itu semakin malap dalam hati kita. Dan ketika itu, ingatlah bahawa keretapi dakwah tetap akan terus bergerak menuju destinasinya, meskipun tanpa kita.

Akhirnya, terpulang kepada kita, untuk masih terus bertangguh dan menunggu sehingga kertapi itu bergerak pergi, atau cepat-cepat sahaja bergegas sebelum terlepas.

Satu lagi perkongsian daripada Simposium Nuqaba’ 2009 yang lalu. Sebagaimana yang telah dijanjikan.

Sekian.


Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

Flickr Photos

P1000219P1000218P1000217P1000216P1000215P1000214P1000213P1000211P1000210

Featured Video

Animated Tag Cloud

Capaian