Tazkirah Jumaat – 6 Nov 2009
Adil dalam meneliti maklumat
Oleh: Darul Hikmah
Internet merupakan salah satu inovasi terpenting di abad ini. Selain memudahkan orang ramai untuk berkomunikasi secara jarak jauh, teknologi internet juga telah mencetuskan revolusi dalam bidang maklumat.
Tidak pernah wujud satu zaman seperti sekarang dimana setiap maklumat yang ingin kita ketahui dari penjuru manapun di dunia ini boleh dicapai hanya dengan duduk secara selesa di rumah sahaja. Internet memungkinkan itu untuk berlaku.
Tetapi, pada masa yang sama kemudahan yang dibawa oleh teknologi internet juga boleh disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Golongan ini tanpa rasa bersalah telah menyalah gunakan kemudahan ini untuk menimbulkan keadaan huru hara selain perbuatan zalim yang lain.
Salah faham merupakan satu masalah yang sangat bahaya dalam islam dan internet merupakan salah satu pintu yang boleh membawa masuk masalah ini kedalam masyarakat islam. Salah faham boleh tercetus samada melalui penyebaran berita dan tuduhan palsu di internet ataupun apabila berlakunya penafsiranyang kurang tepat terhadap berita yang disebarkan di dalam internet.
Kesan daripada salah faham di kalangan umat Islam boleh menyebabkan isu yang asalnya kecil dan boleh diselesaikan secara mudah menjadi lebih besar dan kompleks. Ia juga mampu membawa kerugian kepada umat Islam sekiranya perbalahan yang dicetuskan daripadanya hanya bersifat kosong dan membuang masa ataupun lebih teruk lagi apabila ianya membawa kepada kerosakan kepada harta dan fizikal.
Justeru, kita harus memupuk satu sikap yang tepat dalam berhadapan dengan maklumat yang kita terima. Islam menganjurkan agar umatnya bersikap adil dalam menilai setiap maklumat yang diperoleh. Bersikap adil disini bermaksud Islam menekankan kepentingan untuk setiap umatnya agar menyiasat segala berita yang didatangkan oleh sesatu sumber. Firman Allah:
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6)
Dalam ayat diatas Allah lebih merujuk kepada sumber dari golongan fasik kerana lazimnya golongan ini mendatangkan berita yang mengelirukan demi memelihara kepentingan peribadi.
Allah juga menekankan agar kita tidak bersikap terburu-buru dalam menghukum atas satu berita kerana boleh jadi kita menzalimi mereka yang tidak bersalah dan mudarat yang kita timpakan keatas mereka kekal untuk selamanya. Mungkin pada tahap ini sudah tidak berguna lagi untuk kita menyesal kerana nasi sudah pun menjadi bubur.
Sejarah juga telah mengajar kita bagaimana salah faham dalam maklumat boleh membawa kemudaratan yang besar kepada satu kelompok ummah sehingga membawa kepada peperangan.
Sebagai contoh, Perang Jamal yang berlaku pada tahun 656 Masihi berpunca daripada salah faham diantara Khalifa Ali bin Abi Thalib R.A dan Sayyiditina Aisyah R.A berkenaan dengan isu pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan R.A yang digembar-gemburkan oleh orang-orang yang fasik.
Sebab itu juga Allah telah mengklasifikasikan dosa fitnah lebih berat daripada membunuh kerana secara umumnya seorang pembunuh hanya mengambil nyawa satu individu sahaja ketika melakukan perbuatannya manakala jenayah seorang penyebar fitnah boleh merebak kepada konflik berskala besar yang boleh menyebabkan ramai nyawa terkorban.
“Dan berbuat fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh…” (Al-Baqarah: 217)
Sebab itu kita perlu berhati-hati dalam membuat kesimpulan daripada timbunan maklumat yang kita terima. Biasakan diri untuk menyiasat sumber maklumat yang kita terima agar setiap butiran yang terdapat didalamnya tepat dan sahih.
Selain itu, sekiranya sesuatu berita tersebut melibatkan kepentingan banyak pihak, kita tidak boleh hanya mendengarnya daripada sebelah pihak sahaja. Walaupun ianya bakal mengambil masa ataupun tenaga kita, bersikap adil itu lebih penting dan kita mesti mendengar dan menyiasat pandangan, penjelasan ataupun hujah semua pihak yang terlibat. Ianya lebih selamat berbanding kita menjatuhkan hukuman ataupu melemparkan hukuman secara semberono yang akhirnya melazimi mereka yang tidak bersalah.
Kesimpulannya, walaupun dunia dirahmati dengan kemudahan teknologi maklumat yang makin berkembang, tidak semestinya kemudahan tersebut bebas daripada digunakan pada jalan yang salah. Dan sekiranya penyalahgunaan ini berleluasa secara berterusan ianya hanya membawa kepada mudarat yang boleh merugikan umat Islam. Justeru, amat penting untuk kita memiliki kemahiran dalam berhadapan dengan maklumat yang kita terima dan meneliti sumber dan isinya secara adil. Sekiranya sikap ini diamalkan insyaAllah, ianya boleh menghindarkan masyarakat daripada kekeliruan dan juga perpecahan.
Wallahu’alam.









