Tazkirah Jumaat – 30 Oct 2009

moonlight

SEDEKAH: ‘KERUGIAN’ YANG MENGUNTUNGKAN

Oleh: Darul Hikmah

alangkah indah
orang bersedekah
dekat dengan Allah
dekat dengan surga

takkan berkurang
harta yang bersedekah
akan bertambah
akan bertambah

Allah Maha Kaya
yang Maha Pemurah
yang akan mengganti
dan membalasnya
Allah Maha Kuasa
yang Maha Perkasa
semoga kan membalas surga

oh indahnya
saling berbagi
saling memberi
karna Allah

Opick: Sedekah

Sungguh lunak suara yang dialunkan Opick dalam lagunya yang berjudul sedekah. Begitu cantik juga susunan bait-baitnya dalam menggambarkan kebaikan amalan ini yang sangat dituntut dalam Islam. Di dalam firman Allah S.W.T

Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang telah beriman: “Hendaklah mereka mendirikan shalat, menafkahkan sebahagian rezki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datang hari (kiamat) yang pada hari itu tidak ada jual beli dan persahabatan” ( Ibrahim: 31)

Tetapi, disebalik anjuran agama untuk bersedekah, lagu ini juga merakamkan persoalan sebahagian individu yang beranggapan bahawa amalan bersedekah membawa kepada kerugian. Bagi mereka, kenapa harus dibelanjakan harta yang diperoleh secara susah payah kepada orang lain yang secara umumnya hanya tahu meminta-minta?

Untuk menjawab persoalan ini, pertama, kita harus menilai kembali punca kepada harta kita. Sebagai umat islam, kita wajib percaya bahawa Allah adalah punca kepada segala rezeki yang dinikmati oleh setiap ciptaan-Nya. Selain itu, Allah juga maha berkehendak dalam memberi rezeki kepada siapa yang dikehendakinya. Pendek kata, Allahlah pemutus dalam segala hal berkaitan dengan pemberian rezeki. Yakni kemana dan kepada siapa rezeki itu harus pergi.

Tidak kiralah samada individu tersebut berusaha mendapatkannya ataupun tidak, ketentuan rezeki itu tetap di tangan Allah. Boleh jadi bilik tidur kita hanya di Hospital walaupun kita memiliki kemampuan harta untuk membina sebuah mahligai dek kesihatan kita yang sering terganggu ataupun tiba-tiba kita dikurniakan kejayaan dalam pelajaran walaupun masa yang diperuntukkan untuk belajar singkat sahaja dek kerja lain yang bertimbun. Kesimpulannya, setiap rezeki yang kita perolehi bukanlah milik kita secara total dan ianya hanyalah semata-mata pemberian dari Allah yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Kedua, sekiranya amalan bersedekah  merugikan individu, kenapa Islam amat menggalakkan amalan tersebut sehingga Allah sendiri menyebut terdapat ‘hak’ orang lain dalam harta orang yang beriman (Al-Ma’arij: 24) . Untuk menjawab persoalan ini marilah bersama-sama kita melihat dan mengkaji kesan ibadah zakat kepada masyarakat muslim kerana amalan bersedekah dan zakat merupakan amalan yang hampir sama.

Ibadah zakat mewajibkan setiap individu muslim yang cukup syarat untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta mereka. Harta-harta ini kemudiannya akan dikumpul dan dibelanjakan kepada asnaf-asnaf bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Sebagai contoh, wang zakat boleh diagihkan kepada individu yang miskin tetapi mampu untuk bertani. Individu tersebut boleh menggunakan wang yang diberi untuk membeli tanah, baja dan juga benih. Dengan memiliki asset untuk bertani, individu tersebut boleh meningkatkan taraf hidupnya dengan berusaha untuk mengeluarkan dirinya dari kepompong kemiskinan.

Begitu juga dengan anak yatim. Tanpa ibu dan bapa, peluang anak yatim untuk melanjutkan pelajaran amat terhad kerana kekurangan sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan pendidikannya. Tetapi, sekiranya kita mengeluarkan sebahagian daripada harta kita untuk dikumpulkan dan diberi kepada anak yatim, anak yatim tersebut boleh menggunakan peluang tersebut untuk membeli buku-buku dan alatan belajar lain untuk meningkatkan taraf hidupnya.

Kedua-dua contoh diatas sekiranya dipraktikkan secara efisiyen akhirnya akan membawa keuntungan kepada pemberi zakat ataupun sedekah. Bagaimanaini boleh berlaku? Sebagai contoh, katakan skim galakan bertani melalui wang zakat diperluaskan kepada 1000 petani maka 1000 petani yang bermanfaat ini bakal meningkatkan pengeluaran makanan negara.

Begitu juga sekiranya skim bantuan zakat kepada anak yatim diperluaskan kepada 1000 anak yatim. Maka, negara boleh menambah jumlah golongan professional, sebagai contoh, saintis yang mungkin boleh mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan pengeluaran tanaman bagi setiap hektar plot tanah.

Hasilnya, sekiranya petani dan anak yatim yang berjaya ini bekerjasama dalam sektor industri penghasilan makanan negara, skim-skim ini bukan sahaja akan menambahkan bilangan pengelur makanan tetapi juga kadar pengeluaran makanan yang akhirnya membawa kepada pertambahan bekalan makanan dalam pasaran.

Menurut Law of Demand and Supply, dengan pertambahan bekalan ( supply ) maka harga sesuatu produk tersebut akan menurun. Dan teka siapa yang dapat menikmati harga yang makanan yang lebih murah? Semua pengguna termasuklah mereka yang terlibat dalam mengeluarkan sebahagian harta mereka untuk menampung skim-skim diatas. Walaupun situasi ini mengambil sedikit masa untuk menjadi realiti, apa yang penting, di penghujungnya tiada siapa yang rugi samada di pihak yang memberi ataupun yang menerima.

Sebab itulah zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz dianggapa sebagai zaman kegemilangan ekonomi umat islam kerana sistem zakatnya yang efisyen dan juga sikap rakyatnya yang gemar membelanjakan harta untuk membantu orang yang susah telah menyebabkan tiada seorang pun yang layak menjadi asnaf ketika zaman pemerintahan baginda.

Sebagai kesimpulannya, amalan bersedekah bukanlah satu amalan yang merugikan pihak yang memberi dan menguntungkan pihak yang menerima. Sebaliknya kedua-dua pihak bakal menikmati hikmah disebalik amalan yang mulia ini. Malah Allah juga telah menjanjikan ganjaran yang berlipat ganda kepada mereka yang memberi sedekah. Dalam firman-Nya:

Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( rahmatNya ) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya“. ( Al-Baqarah : 261 )

Justeru, marilah bersama-sama kita suburkan amalan ini dalam kehidupan seharian kita. Lebih-lebih lagi pada hari yang mulia seperti hari ini. Mudah-mudahan dengan amalan ikhlas yang kita lakukan ini, kita bakal diberi tempat yang istimewa di sisi-Nya di akhirat kelak.

Wallahua’alam.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

Flickr Photos

P1000219P1000218P1000217P1000216P1000215P1000214P1000213P1000211P1000210

Featured Video

Animated Tag Cloud

Capaian