Tazkirah Jumaat – 23 Oct 2009
Assalamualaikum wbt,
Rahsia antara seorang pekerja dengan tuhannya adalah IKHLAS. Ia pula menjadi sumber utama yang menentukan pertolongan dan berkat daripada Allah swt. Keikhlasan seorang pekerja merupakan jambatan utuh antara dirinya ( sebagai seorang pekerja ) dengan Allah swt dan ini memudahkan urusan membina hubungan erat yang berterusan.
Keikhlasan turut berfungsi sebagai formula yang sangat berkesan untuk membunuh segala virus yang terbit dari sifat mazmumah seperti riak ketika berkerja dan bertugas untuk diperlihatkan kepada umum , ujub dan bangga diri kerana telah banyak memberi sumbangan kepada persatuan dan merasakan orang lain tidak seperti dirinya, cinta kepada jawatan atau kedudukan sehingga mendorong berlakunya dan 1001 jenis sifat atau tabiat lain yang merosakkan keikhlasan dan kesejahteraan beramal dengan Amal Islami .
Tanpa keikhlasan dalam bekerja , biarpun sehebat mana pengaruh dan publisiti yang berjaya diraih , kesannya sangat memudharatkan persatuan. Paling minima kesan yang bakal diterima ialah hilangnya keberkatan dan kemanisan bekerja. Seterusnya mencetuskan pelbagai konflik dalaman yang melambatkan perjalanan persatuan.
Petanda Ikhlas seorang pekerja :
1. Nawaitu yang jelas dan tepat hanya kerana Allah swt.
Bekerja dengan tidak kerana mengimpikan kemahsyuran sehingga melanggar disiplin Amal Jamaei atau membina imej diri sehingga merempuh sistem syura dalam Amal Islami.
“Sesungguhnya amalan berasaskan niat dan sesungguuhnya bagi setiap individu terpulang kepada apa yang ia niatkan , maka barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya kembali kepada Allah dan RasulNya dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia ( tujuan keduniaan ) yang ingin diperolehinya atau kerana perempuan yang ingn dikahwininya maka hijrahnya kembali kepada tujuan asal hijrah yang ia lakukan.”
Nawaitu yang ikhlas sangat diperlukan oleh seorang pekerja kerana ia kelak akan berfungsi sebagai senjata dan penangkis agar ia tidak gugur dari medan ini sekalipun diuji dan digoncang perasaannya .
Hasil nawaitu yang ikhlas ini mercerna 5 sifat positif bagi seorang pekerja.
– Jiwa yang tenang
– Rohani yang kuat
– Istiqamah terhadap tugas
– Semua tugas menjadi ibadat
– Beroleh ganjaran dalam tugas
2. Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan .
Jawatan hanya menjadi alat dan pengagihan tugas bukan platform amal . Sikap hanya aktif semasa memegang jawatan dan menghilangkan diri dikala tidak berjawatan adalah sikap negatif yang menzahirkan ketidakikhlasan dalam bekerja.
Contohilah Khalid Ibnul Walid yang menerima surat perletakan jawata n di tengah medan perang dari Amiril Mukminin Saiyidina Omar Al Khattab rha. , tetapi Khalid Al Walid meneruskan perjuangan sehingga perang selesai , barulah surat itu diwartakan kepada umum .Lantas sahabat mempersoalkan kenapa Khalid Al Walid terus berperang walhal ia tidak lagi menjadi ketua turus tentera waktu itu. Khalid Al Walid rha. mengemukakan jawapan yang cukup jelas mempamerkan keikhlasan seorang pejuang bahawa ia berjuang dan berperang bukan kerana Omar tetapi kerana tuhan Omar.
3· Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran
Sikap ini bukan sahaja menyuburkan budaya nasihat menasihati dikalangan kita malah menyemarakkan semangat keikhlasan bekerja. Justeru mereka yang bekerja untuk kepentingan peribadi dan merasakan hanya dirinya yang betul , pasti tidak akan memiliki sikap tersebut .
“Ugama ialah nasihat , lantas kami bertanya : Bagi siapa ? Rasulullah saw. menjawab : bagi Allah swt. , kitabNya , rasulNya , pemimpin muslimin dan orang-orang awam mereka”
Riwayat Muslimin

4· Tidak bermain alasan untuk mengelak diri dari aktiviti persatuan.
Sebaliknya gigih berikhtiar untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah dalam apa jua keadaan sekalipun .
” Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa. Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya “
At-Taubah ayat 44-45
5. Bersedia menerima arahan
Ini termasuk dalam apa jua keadaan sungguhpun arahan itu tidak bersesuaian dengan keinginan diri . Sanggup mengenepikan kepentingan peribadi demi bukti sebuah keikhlasan dalam berkhidmat untuk masyarakat dan persatuan .
6. Prihatin terhadap keperluan persatuan .
Memberi penumpuan penuh dan serius terhadap jadual aktiviti dan keperluan semasa dengan rasa tanggungjawab, tidak hanya menanti surat jemputan atau arahan . Rasa terpanggil untuk menunaikan keperluan persatuan adalah sikap yang mempamerkan keikhlasan seorang pekerja.
7. Tolak ansur dalam mengendali gerakkerja.
Ini menjadi cermin diri ke arah melahirkan jiwa yang ikhlas. Tabiat mementingkan diri sendiri dan sukar mengalah adalah jelas bertentangan dengan prinsip keikhlasan , malah gerak kerja sering tergendala dan masalah kian kusut dengan wujudnya individu seperti ini .
8· Menghormati generasi terdahulu
Sekalipun mereka serba kekurangan, kerana mereka sekurang – kurangnya menjadi mata rantai yang menyambung perjuangan suci ini . Memburuk – burukkan mereka terdahulu dengan pelbagai anggapan melulu tidaklah mendatangkan apa – apa manafaat buat persatuan kita.
Bukankah Allah telah mengajar kita dengan satu disiplin yang sangat mulia iaitu mendoakan mereka dan memohon agar tidak tumbuh sifat hasad dan dengki dalam diri kita terhadap mereka yang terlebih dahulu membuka langkah dalam hal ini ?
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau tanamkan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun dan Maha Penyayang”.
Al-Hasyr ayat 10
9· Post mortem atau muhasabah aktiviti.
Pekerja yang ikhlas tidak sambil lewa dan bersahaja dalam aktiviti / program yang dianjur semata – mata untuk memenuhi jadual dan tidak juga mempunyai sikap lepas tangan sejurus selesai program dilaksanakan . Sebaliknya ia mengadakan post mortem yang berdedikasi untuk menilai dan menggarap masa depan yang baik dan berkesan .

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) ; dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan ( muhasabah ) apa yang ia telah berlalu (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”
Al-Hasyr ayat 18
Bersambung.. .
**artikel ini diolah daripada sebuah artikel Ustaz Nasrudin Tantawi untuk disesuaikan dalam konteks persatuan seperti PPIMI.
Afiq Izzudin
Presiden PPIMI 2009-2010









