Tazkirah Jumaat – 16 Oct 2009

kemusnahan

GEMPA BUMI PADANG: MUSIBAH ATAU RAHMAH?

Oleh: Darul Hikmah

Pada tanggal 30 september 2009,  dunia digegarkan sekali lagi dengan kejadian gempa bumi berskala besar yang berlaku di Indonesia. Gempa sekuat 7.6 pada skala richter telah mencatatkan korban rasmi seramai 1115 orang di Padang manakala beribu-ribu lagi hilang segala-galanya dalam sekelip mata. Antara persoalan yang mungkin timbul di antara kita adalah, apakah ada hikmah di sebalik bencana ini?

Sebelum kita pergi lebih jauh, adalah lebih baik kita merenung firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 214:

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa segala musibah ataupun azab yang diturunkan Allah kepada manusia merupakan satu bentuk ujian yang bertujuan menguji sejauh mana tahap keimanan seseorang itu terhadap Tuhannya. Tetapi kebanyakan orang ada yang berfahaman bahawa setiap musibah yang diturunkan oleh Allah pasti ada kaitannya dengan dosa-dosa yang dilakukan oleh penduduk di kawasan tersebut. Walaupun dari satu segi, fahaman sebegini ada justifikasinya, tidalah adil untuk membakulkan semua musibah ataupun bencana yang diturunkan oleh Allah S.W.T sebagai satu bentuk hukuman semata-mata.

Rasulullah S.A.W adalah seorang yang maksum, yakni bebas daripada dosa tetapi baginda sendiri tidak terlepas daripada melalui ujian-ujian yang getir. Sebagai contoh, pada zaman awal kedatangan Islam, Baginda terpaksa melalui tempoh masa 3 tahun hidup dalam pemulauan. Dalam tempoh tersebut baginda terpaksa bergantung kepada daun-daun kayu untuk hidup kerana masyarakat Arab tidak mahu menjalankan urusniaga dengan Baginda.

Malah Baginda juga dipisahkan dengan ahli keluarga Baginda melalui amaran keras daripada masyarakat Quraisy ketika itu yang berazam akan mengambil tindakan kepada mana-mana ahli keluarga Baginda yang menghubungi Baginda.

Tetapi, ujian-ujian yang Baginda terpaksa lalui bukanlah kerana Baginda ‘dihukum’ tetapi lebih mirip kepada satu metode tarbiyah yang diturunkan Allah dalam menerapkan kesedaran di dalam diri Baginda bahawa usaha membawa dakwah bukanlah satu usaha ‘armchair sitting’ ataupun duduk bersahaja tanpa melakukan apa-apa.

Secara tidak langsung, hasil daripada didikan seperti inilah yang telah menjadikan baginda seorang pemimpin yang tulen dalam membentuk generasi pertama masyarakat islam yang mantap. Kesannya, saya pasti ramai orang telah maklum bahawa jumlah umat Islam di dunia sekarang sudah pun mencecah ¼ daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Pew Research Center yang beribu pejabat di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Justeru, konotasi yang mengaitkan azab ataupun bencana sebagai satu bentuk hukuman hendaklah diperkemaskan semula. Sebaliknya anggaplah ia sebagai satu bentuk ujian untuk kita bermuhasabah dan mempertingkatkan tahap keimanan kita terhadap Allah. Sesungguhnya, itulah realiti hidup kita di dunia yang kadangkala terpaksa dirundung musibah agar kita berhenti sejenak dan menyedari bahawa tujuan kita bukanlah untuk kekal selamanya disini tetapi mengumpul bekal bagi menjejaki dunia akhirat nanti yang kekal abadi.

Wallahu’alam

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

Flickr Photos

P1000219P1000218P1000217P1000216P1000215P1000214P1000213P1000211P1000210

Featured Video

Animated Tag Cloud

Capaian