On Contemporary Da’wah – Siri 1

jalan-dakwah

Terjemahan buku ‘On Contemporary Da’wah’ karangan Shaykh Muhammad Al-Abdah

Diterjemah oleh : Saudari Mahirah Kamil Puat


PENGENALAN (Muqaddimah buku)

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat & salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.; penyebar risalah Ilahi, penunai amanah & pembimbing Ummah, juga atas ahli keluarga & sahabat baginda.

Seruan kepada Allah, atau lebih dikenali sebagai Dakwah, adalah salah satu amal yang paling mulia yang dilakukan oleh seseorang Muslim apabila mengharapkan redha Allah s.w.t. Pernah diriwayatkan dalam sebuah hadis: ‘Jika Allah memberi petunjuk (hidayah) kepada seseorang melalui kamu, maka itu adalah lebih baik daripada memiliki unta-unta merah (maksud: memiliki sesuatu yang sangat berharga).’ Berdakwah merupakan pekerjaan para Nabi & Rasul, dan orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka dari kalangan ulama’ & mujadid. Sesungguhnya nilai besar amal ini hanya dapat dihargai oleh mereka yang hatinya terikat pada dakwah; dakwah menjadi tunjang kehidupan mereka, mereka berfikir tentang dakwah siang & malam, mencari ruang & peluang untuk berdakwah atau membebaskan diri dari tekanan semasa yang membantutkan usaha dakwah.

Jika Dakwah ditekankan pada setiap masa & zaman, maka pada zaman ini keperluan kepada Dakwah lebih mendesak berbanding sebelumnya. Ini kerana jahiliah semakin berleluasa & manusia sudah semakin jauh daripada agama Tuhan mereka. Namun para pendakwah perlu mengenalpasti keberkesanan cara dakwah & kesahihan jalan dakwah, mengkaji usaha-usaha dakwah sebelum ini & merealisasikan dakwah untuk masa depan, serta melihat penerimaan terhadap Dakwah pada masa kegemilangannya & juga kejatuhannya, lantas memperbaiki cara & jalan dakwah.

Jarak masa yang diambil untuk menulis artikel pertama di dalam buku ini hingga artikel yang terakhir tidaklah singkat. Namun, dalam jangka masa tersebut, situasi umat Islam masih di antara harapan & kekecewaan, kerana kesedaran Islam sukar dibangkitkan dan cabaran pula terlalu banyak. Di samping itu, terdapat banyak jalan penyelesaian tetapi ada yang mendapat tentangan, maka isu kelahiran semula & kebangkitan Islam memerlukan lebih banyak usaha berbanding apa yang dijangkakan.

Artikel-artikel yang berikut selepas ini akan membincangkan beberapa isu amal Islami di kalangan umat Islam, kerana ia pernah dan masih lagi menjadi masalah utama dalam usaha kebangkitan Islam. Jika wujud kekuatan dalaman yang teguh dalam umat Islam, segala cabaran & tekanan akan dapat dihadapi sebaiknya.

Para sahabat Rasulullah s.a.w. sangat memahami kepentingan kekuatan dalaman umat. Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari daripada ‘Umar Al-Khattab r.a. bahawa beliau berkata: ‘Aku ada seorang sahabat di kalangan Ansar yang apabila aku tiada di samping Rasulullah s.a.w., dia akan melaporkan berita kepadaku, dan begitu pula sebaliknya. Pada suatu ketika, berita telah sampai kepada kami bahawa seorang pemerintah kerajaan Ghassan berniat untuk menyerang kami, maka perkara ini telah menyebabkan kami berasa resah. Pada masa ini, sahabat Ansarku telah datang dan mengetuk pintu rumahku sambil berteriak: “Buka… buka”, maka aku bertanya: “Adakah tentera Ghassan?” “Tidak” katanya, “malahan lebih buruk, Rasulullah s.a.w. telah menjauhkan diri daripada isteri-isteri baginda.” Ini menunjukkan bahawa sahabat Ansar ini berpendapat bahawa apa yang terjadi di dalam rumah baginda Rasulullah s.a.w. adalah lebih signifikan daripada serangan tentera Ghassan ke atas Madinah. Perkara ini ternyata benar, kerana peristiwa fitnah ‘Ifk merupakan rancangan jahat ketua orang Munafik Abdullah bin Ubai, yang bermaksud untuk meruntuhkan kekuatan dalaman umat Islam dan menghapuskan kepercayaan yang wujud antara pemimpin (Rasulullah s.a.w.) dan juga tenteranya (sahabat-sahabat).

Penulis berharap bahawa perkara-perkara yang dibincangkan di dalam artikel-artikel ini dapat memberi manfaat kepada mereka yang terlibat dalam amal Islami; berguna untuk memenuhi lompang-lompang yang ada atau sebagai peringatan tentang isu-isu penting yang melanda. Dan Allah sahaja yang mampu menegakkan kalimahNya serta mempamerkan keagunganNya, dan hanya padaNya kita memohon pertolongan, kerana sesungguhnya Dialah sebaik-baik Penolong.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

Flickr Photos

P1000219P1000218P1000217P1000216P1000215P1000214P1000213P1000211P1000210

Featured Video

Animated Tag Cloud

Capaian