On Contemporary Da’wah – Siri 5

Diterjemah oleh : Saudari Mahirah Kamil Puat (Final Med – RCSI)
Serulah hanya kepada Kebenaran
Allah yang Maha Perkasa, telah mengamanahkan para ulama’ & Dai’e yang menyeru kepada agama pilihanNya supaya tidak menyembunyikan ilmu, tetapi menjelaskannya kepada orang ramai, tanpa sebarang ketakutan melainkan hanya kepadaNya. Sesungguhnya, mereka yang paling jahat di kalangan ahli kitab (golongan Yahudi & Nasrani) adalah golongan ahli agama yang menyembunyikan ilmu & menukar ayat-ayat Allah untuk kepentingan diri mereka sendiri. Tetapi, para ulama’ umat Islam yang terpilih adalah golongan yang terbaik di kalangan mereka kerana mereka diamanahkan untuk menyeru kepada kalimah Allah dengan kebenaran. Terdapat banyak contoh di dalam sejarah Islam mengenai perkara ini.
Diriwayatkan di dalam biografi Imam Ahmad bin Hanbal bahawa apabila beliau ditahan dan diperintahkan untuk bersetuju dengan dakyah palsu golongan Muktazilah, Abu Ja’far al-Anbari telah menasihatinya, “Kamu adalah pemimpin pada hari ini, dan orang ramai akan mengikuti kamu. Demi Allah, jika kamu membenarkan pendapat mereka (golongan Muktazilah), segolongan besar orang ramai akan mengikutimu. Dan jika kamu tidak bersetuju dengan dakyah ini, segolongan besar orang ramai akan turut menyokongmu. Apapun terjadi, jika orang ini (merujuk kepada Sultan) tidak membunuhmu, kamu akan mati, kerana tiada sesiapa yang dapat lari daripada maut. Maka takutlah pada Allah, dan jangan bersetuju dengan dakyah mereka.” Dilaporkan juga bahawa al-Mirwadhi berkata kepada Imam Ahmad, “Wahai guruku, Allah telah berfirman: ‘..Dan janganlah kamu membunuh dirimu..’ (Surah an-Nisa’ 4:29)”. Maka Imam Ahmad menjawab, “ Wahai Mirwadhi, keluar & lihatlah.”. Di perkarangan Darul Khalifah, dia melihat sejumlah besar manusia (yang hanya Allah tahu bilangannya) bersama kertas, pena & dakwat. Mirwadhi bertanya apa yang sedang mereka lakukan & mereka menjawab, “Kami sedang menunggu apakah pandangan Imam Ahmad supaya kami dapat mencatatnya.” Mendengar jawapan ini Mirwadhi kembali kepada Imam Ahmad yang berkata, “Wahai Mirwadhi, patutkah aku memimpin mereka itu ke arah kesesatan?”
Sesungguhnya Imam Ahmad yang terkenal itu sanggup mengorbankan dirinya agar beliau tidak menyelewengkan kepercayaan orang ramai yang mengikutinya. Pada hari ini kita melihat beberapa orang mendakwa diri mereka sebagai ‘golongan Islam’ diikuti ramai walaupun mereka kurang pengetahuan Islam & ijtihad yang betul; mereka ini terjerumus ke dalam permasalahan yang dielakkan oleh Imam Ahmad. Kesilapan ini mungkin berlaku kerana pengiktirafan diberikan kepada orang yang tidak layak menerimanya (contoh: pendapat agama dirujuk kepada yang bukan ahlinya).
Jika kita sebagai umat Islam dituntut untuk berkata benar apabila menilai peribadi seseorang, dan berlaku adil walaupun ketika marah, maka kita sebagai contoh patut mengiktiraf keberanian seseorang (yang benar-benar berani) walaupun orang tersebut bukan muslim. Tindakan sebegini menjelaskan lagi kebenaran di mata orang ramai kerana kita tidak mahu menipu mereka dalam apa jua keadaan.








